Thursday, October 30, 2014

SULTAN JOHOR MAHU ROBOH TAMBAK JOHOR

"ROBOHKAN TAMBAK JOHOR! DATUK, NENEK BETA DAH KENA TIPU DENGAN MAT SALLEH" - SULTAN JOHOR | APABILA mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mencadangkan pada 16 April lalu agar Tambak Johor dirobohkan bagi membolehkan “Jambatan Persahabatan” dibina bagi menghubungkan Malaysia dengan Singapura, beliau bukan orang yang pertama berbuat demikian.

8 tahun yang lalu, pada awal November 2006, Sultan Johor (pada masa itu) telah mengejutkan orang ramai (ketika baginda merasmikan pelancaran Wilayah Pembangunan Iskandar) dengan titahnya “Robohkan juga Tambak Johor… Datuk nenek beta dah kena tipu dengan Mat Salleh..” Titah baginda itu dapat didengar dengan jelas di seluruh negara menerusi siaran langsung yang dipancarkan oleh pelbagai stesyen televisyen tempatan.

Khabarnya titah baginda itu disambut dengan tepukan bergemuruh oleh hadirin di upacara itu. Ia sekaligus membuktikan bahawa bila ada pihak tertentu menyatakan bahawa pembinaan “jembatan bengkok” (crooked bridge) yang dicadangkan oleh Tun Mahathir itu tidak disokong oleh orang Johor, kenyataan itu adalah satu pembohongan yang nyata. 


Kembali kepada gesaan Tun Dr Mahathir tadi, sekiranya Jambaan Persahabatan itu dapat dibina nanti, apakah Tambak Johor masih lagi relevan? Mantan Perdana Menteri itu menyatakan bahawa Tambak Johor telah menyebabkan pelbagai masalah, terutamanya melibatkan isu alam sekitar dan kesesakan lalu lintas di Johor bahru. 

“Jika kita sudah ada Jambatan baru, apakah kita masih perlukan sebuah tambak? Tambak ini menghalang air mengalir keluar dan ia juga sangat kotor. Ia menyebabkan laut menjadi sangat kotor dan terdapat kesesakan lalu lintas yang teruk di Johor Bahru,” katanya selepas menyampaikan satu syarahan umum di Universiti Teknologi Petronas di Seri Iskandar, Perak pada 16 April lalu.

Cerita mengenai cadangan membina “Jambatan Persahabatan” timbul pada 7 April 2014 lalu, bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membangkitkannya dalam satu sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

PROJEK JAMBATAN INDAH

Sewaktu negara ditadbir oleh Tun Dr Mahathir dulu, ada cadangan oleh kerajaan untuk membina Jambatan Indah (scenic bridge) bagi menggantikan Tambak Johor. Malangnya disebabkan projek jambatan itu tidak disetujui oleh Singapura (negara itu enggan meroboh bahagian Tambak Johor di bahagian sempadan negaranya), kerajaan Malaysia terpaksa mengubah rekabentuk jambatan itu menjadi Jambatan Bengkok (crooked bridge). 

Kerja-kerja awal (menanam cerucuk jambatan) sempurna pada 10 Mac 2006. Malangnya, atas arahan Tun Abdullah Ahmad Badawi (yang menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 31 Oktober 2003), projek Jambatan Bengkok itu telah dihentikan pada April 12, 2006.

Pada masa itu apabila ada orang bertanya kenapakah projek Jambatan Bengkok itu dibatalkan, antara sebab yang diberi adalah kononnya “orang Johor tak mahu projek jambatan itu diteruskan” – satu jawapan yang bukan sahaja tidak masuk akal, bahkan satu pendustaan kepada orang Johor.

Pada awal Ogos 2013 lalu, ketika bercakap dengan wakil media yang hadir di upacara pelancaran buku "Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia" (disunting oleh Bridget Welsh and James Chin) Tun Abdullah berkata “Sekiranya saya ikut kata Mahathir, Malaysia akan jadi bankrap” (If I listened to Mahathir, Malaysia would be bankrupt). Disebabkan pada masa itu defisit negara terlalu tinggi, dia terpaksa menghentikan beberapa projek mega Tun Mahathir.


TAMBAK JOHOR AKAN KEKAL

Mengikut Datuk Hasni Mohammad, pengerusi jawatankuasa kerja raya negeri Johor, Tambak Johor akan kekal dan tidak akan dirobohkan. Jambatan Persahabatan yang akan dibina itu tidak semestinya satu jambatan tradisi seperti Jambatan Kedua (Second Link) yang ada sekarang, sebaliknya ia mungkin satu terowong bawah laut (underwater tunnel).

Hasni menambah andainya jambatan baru itu dibina berhampiran Tambak Johor, ia akan membatu (complement) peranan Tambak Johor, bukan menggantikannya. “Oleh itu, Tambak Johor tidak akan dirobohkan”, tambahnya.

Pemerhati membuat spekulasi jambatan baru ini akan dibina berhampiran hab minyak dan gas di Pengerang, disebabkan potensi ekonominya yang besar. Ada juga yang mengatakan jambatan ini mungkin dibina untuk menghubungkan Puteri Harbour, yang lokasinya berhampiran dengan Nusajaya, dengan Singapura. 

Tambak Johor, yang panjangnya hanyalah 1 kilometer, menghubungkan bandaraya Johor Bahru dengan Woodlands, bukan hanya memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya dan pejalan kaki, tetapi juga kepada keretapi dan paip air (membolehkan Singapura mendapatkan air dari Johor). Dibina pada tahun 1923, ia kini digunakan oleh tidak kurang dari 60,000 kenderaan setiap hari.

Berbeza dengan Jambatan Kedua, yang membolehkan kapal untuk terus berlalu di bawahnya. Kapal dari Pelabuhan Tanjung Pelepas yang ingin menuju ke Pasir Gudang terpaksa belayar keliling Singapura, yang bukan hanya mengambil masa tetapi menelan kos yang bertambah. 

Tambak Johor (yang kini berusia hampir 9 dekad) telah sekian lama menyebabkan pencemaran air dan marin menjadi begitu teruk lagi, kerana kewujudannya menghalang air mengalir dari barat (Selat Melaka) ke timur (Laut Cina Selatan). Bila nanti seluruh kawasan pantai dari pusat Bandar Johor Bahru ke Danga Bay terus dibina dan dibangunkan ala Hong Kong, keadaan di sini pastinya menjadi lebih buruk lagi.

Pada tahun 1958-59, sewaktu saya belajar di Tingkatan Enam di English College (kini dipanggil Maktab Sultan Abu Bakar) dan tinggal di sebuah asrama tidak jauh dari kawasan pantai, saya masih lagi boleh berenang dan bermandi manda di tepian pantai di situ (Pantai Lido). Sekarang anda tanya sendiri sama ada orang JB masih lagi boleh beriadah dan bersantai di Pantai Lido dengan ahli keluarga mereka? - Malaysia Gazatte

No comments:

Post a Comment